Tanpa disedari, Bahasa Malaysia saya sudah semakin lama, semakin lapuk.
Dalam Kursus Integrasi yang diadakan baru-baru ini, saya cuba mengajukan soalan dalam BM tanpa menggunakan perkataan daripada Bahasa Inggeris. Namun, saya mengambil masa yang begitu lama untuk membentuk sebaris ayat.....kerana saya memerlukan beberapa saat untuk memikirkan perkataan yang sesuai untuk menyambung ayat yang tengah dibentuk.
Saya sudah biasa mendengar ayat-ayat yang mempunyai pelbagai bahasa tetapi dalam kursus itu, terdapat beberapa ayat pelik yang keluar daripada mulut fasilitator and pelajar....hampir ketawa saya dibuat mereka.
Saya faham...Oleh sebab kita semua sudah lama tidak menulis karangan dan bertutur dalam BM sejak keluar dari Sekolah Menengah, majoriti daripada kita berfikir dalam bahasa ibunda masing-masing ataupun BI. Kadang-kala, walaupun kita cuba berbahasa kebangsaan sepenuhnya, terdapat perkataan-perkataan Inggeris yang amat susah digantikan oleh BM dalam sekelip mata.
Masa saya menonton Heroes Musim Pertama, saya memerhati Noah sengaja berfikir dalam Bahasa Jepun supaya Matt tidak dapat membaca fikirannya.
"Eh, bolehkah kita bertukar bahasa ketika berfikir?"
Sejak itu, baru saya sedar bahawa manusia sememangnya berupaya berbuat demikian.
Kefasihan kita dalam sesuatu bahasa akan menentukan kepantasan kita dalam membuat tafsiran. Ketika berada di dalam tandas tadi, saya cuba berfikir dalam Bahasa Malaysia tetapi asyik tersekat. Tidak produktif langsung. Tiba-tiba, perasaan malu mula menyelubungi jiwa. Bagaimanakah tahap BM seorang bekas pembahas jatuh dengan begitu mendadak? Bayangkan betapa kecewanya Pn Zura, Pn Noorsinah, dll jikalau saya tidak lagi mampu untuk bertutur dalam BM dengan fasih.
Namun, saya masih dapat menepuk dada kerana ada lagi rakan-rakan yang tidak "memulangkan BM kepada guru mereka". Sebagai contoh, dalam blog mereka, Wei Liang dan Jingguo mengarang dalam BM dari semasa ke semasa. Malah, Jingguo menyeru kawan-kawannya supaya cuba menggunakan BM dalam blog mereka sempena Bulan Kemerdekaan 2 bulan yang lalu. Arjun juga mengambil initiatif untuk membentangkan hujah-hujahnya dalam BM walaupun dia menyelitkan beberapa perkataan Inggeris di bahagian yang pelik.
Tidak dapat disangkal bahawa BM tidak begitu penting jikalau dibandingkan dengan Bahasa Mandarin, Arab, Sepanyol, Inggeris, dan Perancis. Kalau diberi peluang untuk belajar bahasa lain, BM tidak tentu berada dalam senarai pelajar tersebut. Namun, BM merupakan Bahasa Kebangsaan Malaysia. Mahu atau tidak, BM akan tetap dipelajari di sekolah selain BI. Justeru, gunakanlah BM dari semasa ke semasa terutamanya ketika menghadiri kursus-kursus MoHE. Campuradukkan bahasa lebih baik daripada melepaskan sesuatu bahasa itu sepenuhnya =)